25 February 2010

Memantap ukhuwah, Memperkasa ummah..

assalamualaikum warahmatullah wabarakatuh.. :-)
C.U harap sahabat2 pembaca sihat2 hendaknya...
Sepertimana semua dah sedia maklum, esok ialah hari Jumaat, 26 Februari 2010...bersamaan dengan 12 Rabi'ul awwal 1431 Hijrah... di mana pada hari tersebut semua yang bekerja diberi cuti.. bukan senang kan nak cuti, hari2 tertentu yang istimewa sahaja yang diiktiraf sbg cuti umum ni... pendek kata , esok adalah hari yang sangat istimewa kepada kita khususnya umat Islam yang mengaku dirinya beriman kepada Rasulullah S.a.w. Dah la hari Jumaat sememangnya mulia kan, tambah pulak dgn satu lagi kemuliaan yang besar ini... oleh itu, bersempena dgn hari yang mulia dan penuh bermakna ini, C.U ingin menyeru sahabat2 di luar sana sambil mengingatkan diri C.U sendiri, marilah kita sama2 menghayati keistimewaan sirah Rasulullah s.a.w yang Unggul dan syumul ini... sama2 kita hayati dan jadikan ikutan.. & sama2lah kita berselawat ke atas Rasul junjungan.. :-)




Sirah Muhammad s.a.w. merupakan sirah yang sahih & paling istimewa.. hanya sirah ini yang paling diterima pakai secara mutawatir kerana tiada sebarang keraguan padanya. Sirah ini menceritakan kehidupan Rasulullah s.a.w. pada setiap peringkat hidupnya yang amat jelas; sejak perkahwinan bapa Baginda, Abdullah dengan ibu Baginda, Aminah sehingga Baginda s.a.w. wafat. Kita mengetahui banyak perkara tentang kelahiran, zaman kanak-kanak, zaman remaja, sumber pencarian Baginda sebelum kenabian dan pengembaraan-pengembaraannya ke luar Makkah sehinggalah Allah mengutuskannya sebagai Rasul yang mulia. Kita juga tahu setiap hal ehwal Baginda selepas perutusan tersebut dari setahun ke setahun. Ini menjadikan sirah Baginda s.a.w. jelas dan terang umpama matahari. Sirah ini menyebutkan secara detail kehidupan peribadi Rasul kita seperti makan, bangun, duduk, pakaian, rupa bentuk, gaya, percakapan, interaksi dengan keluarga, ibadat, solat dan pergaulan Baginda dengan para sahabatnya. Bahkan pendetailan dalam meriwayat sirah Baginda hingga ke tahap mereka menyatakan kepada kita bilangan uban di kepala dan janggut Baginda s.a.w..





Sirah Rasulullah s.a.w. menceritakan perjalanan hidup seorang manusia yang dimuliakan Allah dengan risalah-Nya. Namun ia tidak mengeluarkan Baginda daripada sifat kemanusiaannya. Kehidupan Baginda tidak disertakan dengan dongeng-dongeng, juga tidak ditokok tambah dengan sifat ketuhanan, sama ada sedikit mahupun banyak. Muhammad s.a.w. akan terus menjadi model manusia yang kamil kepada sesiapa yang ingin hidup bahagia dan mulia dari segi diri, keluarga dan suasana persekitarannya. Oleh yang demikian, Allah Taala berfirman dalam kitab-Nya yang mulia:

maksudnya: "Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat." (Al-Ahzab: 21)

Sirah Rasulullah s.a.w. juga meliputi setiap sudut kemanusiaan yang dimiiiki manusia. Ia menceritakan kepada kita perjalanan hidup Muhammad s.a.w. selaku pemuda yang amanah dan berakhlak mulia, iaitu sebelum Allah memuliakan Baginda dengan risalah-Nya. Ia turut menceritakan kepada kita perjalanan hidup Rasulullah sebagai pendakwah kepada Allah yang mencari cara paling efektif untuk memastikan dakwahnya diterima. Ia juga meriwayatkan Baginda sebagai pendakwah yang mencurah tenaga dan usaha yang maksimum untuk menyampaikan risalahnya. Begitu juga, ia menceritakan kepada kita perjalanan hidup Baginda sebagai ketua Negara yang mengasas sistem ampuh dan jitu untuk negaranya. Baginda melindungi negaranya itu dengan penuh waspada, ikhlas dan jujur. Ini menjamin negara tersebut untuk berjaya.

Sirah menceritakan kepada kita perjalanan hidup Rasul sebagai seorang suami dan
bapa yang mempamerkan sikap belas kasihan, hubungan yang baik serta memberi perbezaan jelas antara yang mana hak dan mana kewajipan untuk suami, isiteri dan anak-anak. Ia juga menceritakan perjalanan hidup Rasul selaku pendidik dan pemberi tunjuk ajar yang menyelia pendidikan para sahabat Baginda dengan pendidikan yang ideal. Baginda memindahkan nilai-nilai pendidikan itu daripada rohaninya sendiri ke dalam rohani mereka, daripada jiwanya kepada jiwa mereka. Ini mendorong mereka untuk cuba mencontohi Baginda dalam sehalus-halus perkara sehinggalah ke sebesar-besar perkara. Begitu juga, ia menceritakan kepada kita perjalanan hidup Rasul selaku seorang teman yang melaksanakan kewajipan persahabatan serta memenuhi komitmen dan adab-adabnya. Ini menjadikan para sahabat Baginda mengasihinya sebagaimana mereka mengasihi diri mereka sendiri. Bahkan melebihi kasih mereka kepada keluarga dan kaum kerabat mereka. Sirah Baginda juga menceritakan kepada kita perjalanan hidup seorang pahlawan yang berani, panglima perang yang jaguh, politikus yang berjaya, jiran yang amanah dan pengikat janji yang jujur.

Pendek kata, Sirah Rasulullah s.a.w. meliputi semua aspek kemanusiaan dalam
masyarakat. Ini menjadikan Baginda contoh teladan yang baik untuk setiap pendakwah, panglima, bapa, suami, kawan, pendidik, politikus, ketua negara dan demikianlah seterusnya...

Di samping itu, Sirah Muhammad s.a.w. adalah satu-satunya sirah yang memberi dalil yang tidak diragui tentang kebenaran risalah dan kenabian Baginda kepada kita. Ia adalah perjalanan hidup seorang manusia kamil. Baginda mengharungi kehidupan bersama dakwahnya dengan mendapat kejayaan demi kejayaan; Bukan dengan cara peristiwa-peristiwa pelik yang melanggar adat kebiasaan mahupun mukjizat. Bahkan semata-mata dengan cara yang normal. Baginda s.a.w. berdakwah, lalu disakiti, menyampaikan risalah, seterusnya memperolehi penyokong. Jika terpaksa berperang, Baginda berperang. Baginda seorang yang bijaksana dan mendapat taufiq dalam kepimpinannya. Ketika hampir wafat, dakwah Baginda telah berkembang meliputi seluruh semenanjung tanah Arab. Dakwahnya tersebar melalui cara iman (keyakinan), bukan dengan cara paksaan atau kemenangan perang. Bagi sesiapa yang mengetahui pegangan dan budaya masyarakat Arab ketika itu, penentangan mereka melalui pelbagai cara sehingga ke tahap merancang pembunuhan Baginda.

Kurniaan Allah kepada baginda seperti tabah (thabat), kekuatan, keupayaan mempengaruh dan kemenangan juga menunjukkan Baginda benar-benar seorang nabi. Allah tidak akan mendokong sesiapa yang mendustakan-Nya. Dokongan Ilahi ini adalah dokongan yang unik dalam sejarah. Sirah Rasulullah s.a.w. membuktikan kepada kita kebenaran risalah Baginda hanya melalui bukti-bukti lojik yang boleh diterima akal. Mukjizat yang berlaku bukanlah faktor utama orang Arab beriman dengan dakwah Baginda. Bahkan kita tidak dapati Baginda mempunyai mukjizat yang menyebabkan orang kafir yang ingkar menjadi beriman kerana mukjizat tersebut. Walau bagaimanapun, mukjizat berbentuk material tetap menjadi hujah dalam berhadapan dengan mereka yang menyaksikannya. Suatu yang pasti bahawa orang Islam yang tidak pernah melihat Nabi s.a.w. dan tidak pernah menyak-sikan mukjizat, mereka beriman dengan kebenaran risalah Baginda hanya kerana bukti-bukti lojik yang qat’ie dan masuk akal yang menunjukkan kebenaran dakwaan kenabiannya. Di antara bukti tersebut ialah; al-Quran al-Karim. Ia merupakan mukjizat yang boleh diterima oleh akal. Mukjizat ini menyebabkan setiap manusia berakal lagi bersikap adil dan insaf pasti beriman dengan kebenaran dakwah Muhammad s.a.w..

sumber: SIRAH NABI MUHAMMAD S.A.W. PENGAJARAN & PEDOMAN; Dr. Mustafa as-Syibaie.

"Semangat Maulidurrasul tidak boleh hidup pada bulan ini sahaja, tetapi perlu terus hidup setiap hari dan sepanjang tahun. ia tidak boleh disambut dengan perarakan yang besar dan hebat semata-mata, dengan mengenepikan hasrat sebenar dari kebangkitan Rasulullah S.A.W iaitu mengajak manusia beriman dan melaksanakan perintah Allah". Mursyidul Am PAS...

C.U: smoga kita sama2 mendapat manfaat dari perkongsian di atas.. :-)
Mari berselawat ke atas Nabi...


* Back To Halaman Utama *

Blog Widget by LinkWithin

4 komen disini yer..:

LaNuNsepet said...

Allahhumma solli ala muhammad waala alihi wasohbihi wabarik wasallim...

tq coklatungu :-) for the reminds, selawat banyak2 tak kira masa maulidur aja kan..

kdg2 kiter tu lar, mase time gni lar baru nak teringat kat nabi.. nabi masa sakaratul maut pun masih pk pasal kita.. malu kita dgn baginda..

sama2 kita baiki diri kita InsyaAllah :-)

tq sekali lagi :-)

CoKLaT uNGu said...

same2 :-) saling mengingatkan...

LaNuNsepet said...

:-) tiadalah role model yang terbaik dari yang terbaik melainkan baginda..

kita dok amik pemimpin yg bermasalah n artis lak jadi role model, mana lar makin ramai yang nak berebut2 jadi pemimpin n nak jadi artis kan wak.

ya Allah termpatkanlah kami bersama kekasihmu Muhammad SAW..ber sama2 org2 beriman..
semoga kita bersama dengan Rasulullah :-) di syurga kelak.. Aaminn..

CoKLaT uNGu said...

aamin ... ! =)