02 November 2010

Pengorbanan Suami : Harian Metro - Gadai Nyawa Demi Selamatkan Isteri

KUALA TERENGGANU: Demi menyelamatkan isterinya, seorang penoreh getah sanggup menggadaikan nyawa apabila merelakan dirinya disengat ribuan lebah sehingga dia terbunuh dalam kejadian di Kampung Tanah Lot, Pasir Gajah, Kemaman, kelmarin.

Akibat kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, Ali Din, 54, meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Kemaman manakala isterinya, Khersiyah Engku Hassan, 51, turut cedera dan dimasukkan ke wad selepas terdapat 102 kesan sengatan pada badannya.


Kejadian berlaku ketika pasangan suami isteri itu berjalan kaki pulang ke rumah selepas selesai menoreh getah di kebun milik mereka sebelum seekor lebah tiba-tiba menyengat pipi Khersiyah.

Secara spontan, Khersiyah menampar lebah di pipinya hingga serangga itu mati, namun selang beberapa saat kemudian ribuan lebah muncul dan menyerang pasangan itu.



Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Abdullah Sani Salat berkata, dalam keadaan kelam-kabut dan kesakitan, pasangan itu lari mendapatkan bantuan pekerja asing di rumah kongsi tidak jauh dari situ.


Menurutnya, kumpulan pekerja asing itu menyerahkan selimut kepada Ali dan Khersiyah sebelum mereka turut melarikan diri ke semak berhampiran akibat disengat.


“Selepas mendapat selimut, si suami menyelimuti isterinya, tapi mereka terus berlari hingga si suami akhirnya terjatuh. Si isteri cuba membantu, tapi suaminya menyuruh dia terus lari menyelamatkan diri.


“Kebetulan, ada satu tong besar berisi air tidak jauh dari situ dan suami menyuruh isterinya menuju ke tong itu dan menyelam bagi mengelak terus disengat,” katanya.


Beliau berkata, biarpun keberatan, Khersiyah akur arahan suaminya dan tindakan itu menyelamatkan nyawanya manakala Ali terus disengat ribuan lebah hingga tidak sedarkan diri.


Menurut Abdullah Sani, selepas keadaan agak terkawal Khersiyah pulang ke rumahnya dan mendapatkan bantuan ahli keluarga.


Katanya, seorang adik ipar Khersiyah segera membantu wanita itu dan turut bergegas ke tempat Ali terlantar tidak sedarkan diri sebelum membawa mereka berdua ke Hospital Kemaman. “Bagaimanapun, mangsa meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital dan dia menghembuskan nafas terakhir di atas riba isterinya,” katanya. Abdullah Sani berkata, hasil bedah siasat, doktor mengesahkan Ali meninggal dunia disebabkan mengalami alahan pada sengatan lebah manakala isterinya yang mempunyai 102 kesan sengatan di badan masukkan ke wad sebelum dibenarkan keluar pagi semalam.


Menurutnya, jenazah Din sudah dituntut anggota keluarganya sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pasir Gajah di sini, kira-kira jam 11 pagi semalam.
Blog Widget by LinkWithin

2 komen disini yer..:

aque said...

al-fatihah tok beliau... semoge ditempatkan dikalangan orang yg beriman... amin...

2ury said...

Ye, smoga roh beliau dicucuri rahmat...