Kosmo 18 Oktober : Klon Anjing Liar
SEOUL – Saintis sel stem Korea Selatan, Hwang Woo-suk memperkenalkan lapan klon anjing liar atau koyote semalam dalam satu projek tajaan pihak pentadbiran wilayah Gyeonggi.
Woo-suk menghantar klon-klon itu ke sebuah pusat perlindungan haiwan liar di bandar Pyeongtaek, 50 kilometer ke selatan ibu kota Korea Selatan di sini dalam satu majlis yang dihadiri oleh Gabenor Wilayah Gyeonggi, Kim Moon-soo. Saintis itu pernah dianggap sebagai wira negara sebelum beberapa penyelidikannya bagi menghasilkan sel stem manusia daripada klon embrio didapati palsu.
Namun, kajiannya dalam menghasilkan klon anjing pertama di dunia, Snuppy, pada 2005 disahkan oleh beberapa pakar dan pihak berkuasa.Satu kenyataan pejabat gabenor berkenaan menyatakan, Hwang mengambil sel-sel kulit koyote yang dimasukkan ke dalam telur seekor anjing untuk mencipta klon haiwan liar tersebut.
Klon koyote pertama dilahirkan pada 17 Jun lalu.Sebelum ini pakar-pakar Korea Selatan telah mengklonkan haiwan lembu, kucing, anjing, babi dan serigala. Seekor serigala yang diklonkan itu mati pada 2009. – AFP
Lanun cuba cari hukum bagi isu pengklonan haiwan ini. Sebelum telah pun kita tahu pengklonan manusia sememangnya telah difatwakan haram. Untuk pengklonan haiwan, Lanun jumpa jawapanya di Laman Web Soal Jawab Darul Nu'man.
Hukum Klon Manusia, Binatang Dan Tumbuh-tumbuhan
Soalan:
Apakah sebenarnya klon? Apa pula hukumnya mengklonkan manusia dan binatang? Harap ustaz dapat menyelesaikan persoalan saya ini.
Izzat, Dungun
Jawapan:
Klon ialah proses menghasil dan menyalin sesuatu makhluk yang baru dari spesis makhluk yang sama dengannya melalui proses pengembangan sel-sel tertentu melalui kaedah tertentu. Ia melibatkan klon manusia, binatang dan juga tumbuh-tumbuhan. Organisma hidup terbina daripada unit-unit sel. Begitu juga dengan badan manusia. Setiap sel itu
mengandungi molekul-molekul asid nukleik deoksiri (DNA). Proses klon biri-biri umpamanya dilakukan dengan mengambil sel daripada biri-biri dewasa.
Sel yang lengkap dengan DNA ini kemudiannya diletakkan di dalam kultur iaitu bahan genetik sel dengan kurang makanan supaya ia berhenti membahagi dam mendormankan gen-gennya. Satu sel daripada telur biri-biri yang lain yang belum disenyawakan diambil. Semua ciri DNA dalam telur kedua ini dibuang. Dua sel ini kemudian diletakkan berdekatan dan diberi denyutan eletrik, menyebabkan kedua-duanya bergabung. Denyutan eletrik kedua memulakan pembahagian sel dan emberio yang terhasil setelah beberapa hari diletakkan ke dalam rahim biri-biri tumpang.
Proses mengandung berjalan seperti biasa dan seterusnya seekor biri-biri yang kandungan gennya sama seperti biri-biri pertama dihasilkan. Begitulah juga proses klon yang melibatkan manusia.
Dalam Islam klon tumbuh-tumbuhan bagi meningkatkan lagi mutu pengeluaran pertanian tidak menjadi kesalahan, malah hukumnya adalah harus. Begitu juga klon binatang, asal sahaja tidak memudaratkan binatang tersebut. Tetapi klon manusia tidak dibenarkan sama sekali, malah hukumnya adalah haram kerana memudaratkan kehidupan manusia itu sendiri.
Dalam Islam setiap kemudaratan itu perlu dihilangkan. Ini kerana klon akan melibatkan berlakunya perubahan kepada struktur kehidupan manusia. Manusia membiak melalui proses beranak pinak. Ini adalah sunnah Allah yang telah ditetapkan kepada mereka. Merosakkan sunnah ini akan menimbulkan kemudaratan kepada manusia itu sendiri. Selain itu klon juga boleh menghapuskan sistem kekeluargaan dan menimbulkan masalah dalam penentuan keturunan bayi yang dilahirkan melalui cara ini. Al-Quran melarang kita mencampakkan diri kita kepada kemusnahan.
Link asal :
Soal Jawab Darul Nu'man